Wednesday, January 6, 2010

Semangat 1 Malaysia ‘tersepit’ dalam polemik kalimah ‘Allah’?

Semangat 1 Malaysia ‘tersepit’ dalam polemik kalimah ‘Allah’?
Oleh G. Manimaran The Malaysian Insider

PETALING JAYA, Jan 6 — Tinggal tiga bulan genap setahun gagasan 1 Malaysia diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak, polemik berhubung keputusan penggunaan kalimah “Allah” dilihat sebagai satu cabaran kepada kemajuan penerimaan gagasan berkenaan oleh masyarakat pelbagai kaum.

Justeru, Pensyarah Kanan Sains Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman mengakui "ada betulnya jika dikatakan isu semasa ini satu cabaran besar kepada perdana menteri."

"Sebab itu, (pada Ahad lalu) beliau hanya dapat membuat keputusan bersifat neutral walaupun beliau mengatakan bahawa kerajaan akan membuat rayuan.

"Beliau memang sedang memikirkan bagaimana hendak menyelesaikan isu ini agar keputusan beliau mengenai isu ini tidak menyakiti atau tidak menyenangkan mana-mana pihak," kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Najib menjadikan gagasan 1 Malaysia sebagai platform memimpin negara dengan slogan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri awal April lalu.

Sambil merujuk beberapa insiden sepanjang sembilan bulan lalu termasuk protes “kepala lembu” di Shah Alam, Ahmad Nizamuddin berkata perkembangan terbaru ini tidak harus dilihat sebagai kegagalan gagasan 1 Malaysia, sebaliknya ia "satu bentuk cabaran kepada kemajuan" gagasan itu.

"Ia sangat mencabar... ia (kejayaannya) sangat bergantung pada keputusan yang beliau ambil. Perdana menteri berada dalam keadaan tersepit," kata beliau dengan menjelaskan bahawa jika tidak mengeluarkan kenyataan yang memihak umat Islam beliau akan dikatakan tidak membela mereka, sebaliknya jika mengeluarkan kenyataan sebaliknya masyarakat bukan Islam akan menganggap Najib tidak selari dengan gagasan 1 Malaysia.

Ahad lalu Najib meminta umat Islam bertenang dan tidak terlalu "memanaskan" isu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan akhbar mingguan gereja Katolik menggunakan perkataan "Allah" dalam penerbitannya.

Perdana Menteri berkata kerajaan sedar bahawa isu itu amat sensitif serta menyentuh perasaan umat Islam di negara ini dan kerajaan akan menangani isu itu sebaik mungkin.

Kabinet mengadakan mesyuarat mingguan hari ini. Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) dijadual untuk mendengar permohonan Kementerian Dalam Negeri bagi penangguhan perintah mahkamah yang membenarkan akhbar mingguan Herald menggunakaan perkataan Allah 2.30 petang ini.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian juga berpendapat ia sebagai satu ujian kepada Najib kerana ia boleh menentukan sama ada keputusan diambil kerajaan boleh melonjakkan populariti beliau ataupun sebaliknya.

"Sudah pasti beliau (Najib) perlu membuat keputusan mengikut tuntutan majoriti, dan keputusan ini boleh mempengaruhi senario politik negara," kata beliau sambil menambah, Najib telah mengambil langkah awal mahu rayuan dikemukakan dan menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Selepas kedua-dua langkah awal itu yang bertujuan menjaga ketenteraman awam diambil Najib, kata beliau rakyat ingin melihat tindakan susulan pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.

Pun begitu kata Sivamurugan, ketika sesetengah pihak cuba menjadikan isu semasa sebagai modal politik kepentingan diri mereka, pihak berkuasa perlu melihat kepada punca masalah ini dan menerangkan kepada masyarakat Islam dan bukan Islam hak masing-masing.

Bagaimanapun Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik Prof. Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin tidak melihat isu semasa ini sebagai ujian kepada Najib dalam menjayakan gagasan 1 Malaysia.

Sebaliknya tegas beliau ia memperlihatkan sikap kejahilan orang ramai memahami aspek sejarah negara ini.

"Ini isu kejahilan mereka tentang sejarah negara... bukan soal ujian kepada gagasan 1 Malaysia," kata beliau yang menekankan rakyat negara ini perlu memahami keperluan setiap anggota negara ini dari persekitaran budaya dan politik Malaysia.

Sehubungan itu beliau juga menggesa pihak berkuasa mengambil langkah menganjurkan dialog ataupun perundingan membabitkan masyarakat pelbagai agama dan kaum di negara ini.

"Kita perlu ada daya kepekaan dan sensitiviti dalam menyelesaikan isu ini," kata beliau lagi.

"Kita perlu memikirkan dialog antara komuniti atau dialog antara komunal," kata Shamsul Amri yang menyifatkan sekarang merupakan masa yang sesuai untuk berbuat demikian.

Dalam pada itu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berpendapat perlu ada usaha ke arah mencapai penyelesaian menang-menang dalam isu semasa sekarang.

Setiap pihak yang terbabit perlu menangani isu ini dengan tenang dan terbuka, kata beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab berhubung soal perpaduan negara.

Beliau yang kembali dari luar negara petang semalam menambah, selaras dengan semangat 1 Malaysia pihak-pihak yang terbabit perlu memahami dan menerima kebimbangan kaum-kaum lain dalam menyelesaikan isu ini.

"Saya faham bahawa masyarakat Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak telah menggunakan perkataan 'Allah' untuk merujuk Tuhan sebelum negara mencapai kemerdekaan dan begitu dengan masyarakat Sikh dalam kitab suci mereka.”

Oleh itu beliau melihat ia bukan fenomena baru ataupun sebarang usaha untuk mengelirukan atau menukar agama masyarakat Islam.

Jelas beliau usaha melarang daripada menggunakan perkataan “Allah” juga satu tindakan menghalang mereka daripada mengamalkan agama masing-masing dan menggunakan sesuatu bahasa memandangkan perkataan itu menjadi sebahagian daripada bahasa mereka sendiri dan dalam Bahasa Malaysia.

“Di pihak lain, kebimbangan bahawa membenarkan istilah ini dalam penerbitan Kristian kemungkinan mengelirukan umat Islam seharusnya ditangani dengan konstruktif, walaupun adalah jelas sebarang usaha menukar agama seseorang Muslim dilarang oleh undang-undang," katanya.

No comments: